Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Halim B. Omar
Pengarah
JPNIN Negeri Selangor
JPNIN Negeri Selangor
Assalamualaikum w.b.t, Selamat Sejahtera dan Salam Perpaduan.
Selamat menyambut tahun baru 2009. Tahun yang dianggap penuh dengan cabaran. Cabaran dari pelbagai aspek yang mampu mengancam keharmonian kehidupan kita. Perubahan gelombang politik dalam negara yang telah mewujudkan kecelaruan hidup bermasyarakat. Kegawatan ekonomi dunia yang telah menggugat kestabilan sosial masyarakat serta pengaruh budaya asing yang mampu menghakis keutuhan pengamalan nilai murni Bangsa Malaysia.
Bagi menghadapi cabaran-cabaran tersebut, seluruh warga kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor perlu mempersiapkan diri. Kita perlu memiliki pengetahuan secukupnya terutama dalam aspek yang berkaitan dengan bidang tugas. Malah kita juga perlu mempertajamkan kemahiran kita dalam menangani isu-isu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. Perubahan-perubahan yang berlaku disekeliling kita, menuntut kita menjadi pemerhati yang teliti dan penganalisis yang jitu serta pelaksana yang kreatif. Ringkasnya, perubahan persekitaran menuntut perubahan pada sikap kita sebagai penjawat awam agar sistem penyampaian kita menjadi lebih efektif.
Ahli-ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga diseluruh Negeri Selangor juga tidak terkecuali daripada memenuhi tuntutan-tuntutan di atas. Kompleksiti masyarakat serta perubahan sosial yang berlaku memerlukan kepekaan dan tindakbalas yang segera daripada tuan-tuan dan puan-puan. Sebagai pihak yang menjadi penghubung di antara komuniti dan kerajaan, tuan puan perlu melakukan perdampingan sosial secara lebih kerap. Pastikan setiap permasalahan komuniti disalurkan kepada pihak berwajib dan pastikan juga ianya diselesaikan secara berkesan.
Sebagai penggerak dan tonggak kepada perpaduan serta keharmonian komuniti setempat tuan puan berhadapan dengan cabaran yang besar ketika ini. Tuan puan harus mampu memastikan komuniti di kejiranan tuan puan berada dalam keadaan selesa, sejahtera dan selamat serta semangat patriotiknya. Sambut dan laksanakanlah segala peluang serta program yang boleh mewujudkan keadaan-keadaan tersebut dalam komuniti sejiran. Kesediaan tuan puan berada di dalam Jawatankuasa Rukun Tetangga, perlu disusuli dengan kesanggupan untuk melaksanakan tanggungjawab secara luhur.
Akhirnya, andai terjalin kesepakatan dan kesepaduan di antara kita sebagaimana kukuhnya “lidi seberkas”, seia sekata di mana “ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni”, sudah pasti kita berupaya menjadi benteng bagi menghalang semua bentuk ancaman yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan di negara kita. Semoga tahun 2009 akan membawa sinar yang lebih berseri dan bercahaya dalam pemupukan serta pengukuhan perpaduan dinegara ini.
Sekian, terima kasih.
‘Perpaduan Teras Kemajuan’
0 ulasan anda:
Post a Comment