Ads 468x60px

Showing posts with label perpaduan. Show all posts
Showing posts with label perpaduan. Show all posts

Tuesday, June 8, 2010

WARISAN BUDAYA MALAYSIA : PAKAIAN DAN PERHIASAN MELAYU ( SIRI 2)

Share

Baju kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Baju ini boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.

Baju Kurung Teluk Belanga
Dari segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi. Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju kurung teluk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita pada dasarnya adalah sama kecuali;
a) Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek.
b) Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar panjut Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.
Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu. 

Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.

 
Pada masa dahulu, lelaki golongan istana dan golongan berada memakai seluar yang besar dan longgar yang dikenali sebagai kain seluar, seluar Aceh atau seluar Lambok. Kain seluar ada yang pendek dan ada yang panjang. Kain seluar yang pendek hanya separas lutut dan biasanya dipakai untuk bersantai di rumah. Kain seluar yang panjang pula adalah separas betis dan digunakan ketika keluar rumah atau ke majlis rasmi. Kaki dan pinggang kain seluar sangat lebar.
Kain seluar terdiri daripada lapan bahagian yang dicantumkan. Empat bahagian yang di tengah berfungsi sebagai kekek supaya selesa dipakai. Kain seluar dipakai seperti memakai samping; melipat ke hadapan (box-pleat) dan menggulungnya atau mengikatnya dengan tali pinggang.
Kain seluar dilengkapi dengan satu poket. Poket dibuat pada bahagian hadapan sebelah kiri seluar (bukan pada kekeknya).
Kain seluar diperbuat daripada sutera yang berwarna-warni dari kain songket emas atau perak. Bahagian yang paling banyak bunga songketnya ialah bahagian hujung kaki dan bukaan poket.
Satu lagi seluar yang kerap dipakai ialah seluar panjang atau seluar panjut. Seluar panjang juga lebar bahagian pinggangnya. Pada kelepet pinggang seluar panjang ada lubang kecil bagi memasukkan pita atau tali pinggang yang digunakan untuk memanjut seluar ini.
Seluar panjang terdiri daripada empat bahagian sahaja kerana seluar panjang tidak berkekek seperti kain seluar. Kaki seluar panjang menirus ke bawah. Pada bahagian sisi kaki seluar panjang ada bukaan yang dipasangkan butang. Biasanya lima atau enam butang digunakan. Panjang seluar ini mencecah buku lali.

Wednesday, June 2, 2010

WARISAN BUDAYA MALAYSIA : PAKAIAN DAN PERHIASAN MELAYU ( SIRI 1)

Share

Pakaian merupakan salah satu keperluan asas manusia iaitu berfungsi sebagai melindungi tubuh dari kepanasan, kesejukan serta ancaman-ancaman lain. Hiasan diri pula digunakan dan dipakai sebagai pelengkap kostum dan menyerikan lagi si pemakai. Bagi masyarakat Melayu, pakaian dan hiasan diri pada asalnya lebih berfungsi sebagai simbol kedudukan dan kekuasaan seseorang dalam masyarakat. Namun fungsi pakaian dan hiasan semakin berkembang dan berubah mengikut peredaran zaman. Kini ia lebih penting sebagai bahan fesyen iaitu sesuatu yang lebih menitikberatkan daya kreatif penciptanya.


Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.
Baju Kebaya Labuh
Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.

Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.

Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.

Baju kurung cekak musang adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya. Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.

Baju kurung cekak musang wanita boleh dipakai dengan seluar atau kain sarung. Seluar yang selalu digunakan ialah kain seluar panjang, seluar panjang dan seluar bambu. Jika mahu, samping dan selendang juga boleh dipakai bersama.

Baju kurung cekak musang lelaki pula dipakai dengan seluar dan bersamping. Lebih segak lagi apabila bertanjak atau bersongkok.



Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.

Friday, November 6, 2009

Misi, Visi, Motto



Menjadi Sebuah Agensi Kerajaan Yang Unggul Dalam Usaha Melahirkan Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu, Berwawasan Dan Berdaya Maju





Memupuk Kesefahaman Dan Semangat Muhibbah Melalui Jaringan Dan Interaksi Sosial Ke Arah Pembentukan Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu Dan Beridentiti Nasional


 
 
" BERSATU KITA MAJU "

Tuesday, October 27, 2009

Sejarah




Tarikh
Perkara

1 Julai 1969
Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara (Jabatan Perdana Menteri)

1972
Kementerian Perpaduan Negara

1974
Lembaga Perpaduan Negara (Jabatan Perdana Menteri)

1980
Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara (Jabatan Perdana Menteri)

1983
Jabatan Perpaduan Negara (Jabatan Perdana Menteri)

1990
Jabatan Perpaduan Negara (Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat)

2004
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (Jabatan Perdana Menteri)

2008
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan)

April 2009
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (Jabatan Perdana Menteri)