Ads 468x60px

Showing posts with label perayaan. Show all posts
Showing posts with label perayaan. Show all posts

Wednesday, September 15, 2010

Selamat menyambut Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.[1]
Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.[2] Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia
iklan dari DIGI :


 http://www.youtube.com/watch?v=d5ExL7H-LYQ&feature=player_embedded#!

Share

Sunday, September 5, 2010

Salam Idilfitri : Selamat Hari Raya 1431H dari JPNIN Klang

Sebulan genap kita berpuasa,
Semoga digolongkan pada orang berjaya;
Diperintah sudah oleh Yang Berkuasa,
Sesudah berpuasa kita berhari-raya

Berbilang kaum hidup bersama,
Bersopan-santun amatlah mesra;
Tak kira bangsa juga agama,
Aidilfitri disambut dengan gembira.

Tinggi sungguh terbang Rajawali,
Bintang di langit yang dicari;
Manusia di pagi Raya juga mencari,
Ampun maaf menyusun sepuluh jari.


Syawal juga kita sambut dengan turut menginsafi malapetaka yang melanda saudara-saudara kita di seluruh dunia; di selatan Thailand, Palestin dan di Iraq antaranya. Penindasan berterusan terhadap mereka seharusnya menjadi pengajaran kepada kita akan peri pentingnya kita menghargai kemerdekaan yang kita nikmati ini dengan membuka ruang lingkup yang seluas mungkin bagi mempraktikkan prinsip-prinsip demokrasi. Perpaduan kaum adalah inti pati utama bagi sebuah negara merdeka. Justeru perlakuan adu domba berbaur perkauman harus ditolak sama sekali kerana ia bakal mengundang perpecahan dan kehancuran bangsa

Sempena Syawal yang mulia ini, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional daerah Klang mengucapkan selamat menyambut Eidul Fitr kepada pimpinan rukun Tetangga, pimpinan Tabika Perpaduan, ahli-ahli serta seluruh umat Islam. Marilah kita perkuatkan azam dan tekad untuk memperbaharui perpaduan agar dapat sama-sama kita bina sebuah negara demokrasi yang adil, maju, makmur dan sejahtera.

Salam Eidul Fitr. Maaf Zahir Batin.


Share

Thursday, August 12, 2010

Perutusan YAB PM - Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1431



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,
Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita meraikan bulan Ramadhan pada tahun ini dalam keadaan harmoni dan penuh kerahmatan.
Sesungguhnya, Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub di dalam Al-Quran, surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :-
"Bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, sesiapa antara kamu hadir pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..."
Ramadhan merupakan penghulu semua bulan dan ia juga menjadi bulan keberkatan dan bulan untuk umat Islam berpuasa sebagai ketundukan dan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Di dalam bulan Ramadhan juga telah berlaku beberapa peristiwa dan kejayaan penting yang dilakarkan oleh umat Islam untuk menunjukkan kepada kita betapa bulan Ramadhan menyimpan keberkatan dan kehebatannya yang tersendiri serta mampu memberi impak dan menginsafkan hati setiap muslim yang prihatin.
Di antara peristiwa tersebut ialah peperangan Badar, Khandaq, Tabuk, pembukaan kota Mekah dan kemuncak dari itu ialah penurunan Al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan petunjuk kepada umat Islam untuk sepanjang zaman.
Sesungguhnya peperangan Badar dan perang Khandaq yang berlaku di dalam bulan Ramadhan ini merupakan manifestasi kemenangan tentera Islam terhadap tentera Quraisy berlandaskan perancangan strategik, kreativiti dan daya inovasi yang dicetus oleh Rasulullah s.a.w. serta para sahabat.
Hakikatnya, Allah s.w.t. telah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya kreativiti dan perancangan yang strategik dalam menentukan sesebuah kejayaan.
Menyedari kepentingan itu, maka negara kita juga telah meletakkan beberapa perancangan strategik dan misi besar untuk memajukan dan memakmurkan negara.
Bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', kita janakan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) berinovasikan Model Baru Ekonomi (MBE) dan bermatlamatkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Wawasan 2020.

Tuesday, August 10, 2010

RAMADHAN: BULAN RAHMAT, BERAMAL SOLEH DAN BERPUASA


Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).
Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.
Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:
"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).
Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya. Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.
Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukannya.
Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan yang tinggi di seluruh negara Islam. Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.
Di dalam kalimat yang lain, Bediuzzaman Said Nursi menerangkan bagaimana semua pancaindera orang berpuasa beralih arah dalam pengabdian:
Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian.
Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan. Musibatlah bagi mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurnai-Nya. Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.
Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan untuk melupakan manusia dari bersyukur. Mereka yang tidak pernah merenung untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur".
Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik dari buku Bediuzzaman Said Nursi:
Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.
Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.

 
JPNIN Daerah Klang melalui blog ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat mengerjakan Ibadah serta Amalan berpuasa pada pada ahli keluarga dan rakan-rakan kenalan pada keseluruhan bulan Mubarak, Ramadhan yang bermula pada esok hari.

Semoga kita semua berada didalam sepenuh keredhoanNya disepanjang bulan puasa ini dan dalam bulan-bulan serta tahun-tahun yang seterusnya.
Share

Friday, May 28, 2010

Selamat Hari Wesak

Share

Hari Wesak merupakan hari terpenting bagi penganut agama Buddha kerana hari Wesak melambangkan Kelahiran, Pencerahan Agung, dan Kewafatan Gautama Buddha. Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.

Lazimnya,penganut ajaran Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha,yang dilambangkan oleh simbol-simbol Buddha seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan Sarikata (relik Buddha). Para penganut juga akan melafazkan semula Tisarana(Tiga Perlindungan: Buddha, Dhamma dan Sangha) untuk memperbaharui komitmen mereka kepada ajaran Buddha. Perlindungan, dalam pengertian ajaran Buddha merujuk kepada perlindungan daripada kesengsaraan dan ketidakpuasan duniawi.
  • Berlindung kepada Buddha membawa maksud menyanjungi Buddha sebagai Guru Agung yang telah menunjukkan cara untuk mendapat kedamaian dalam kehidupan.
  • Berlindung kepada Dhamma bermaksud keyakinan serta mengamalkan ajaran Buddha untuk mendapat kedamaian dalam hidup iaitu Nibbana.
  • Berlindung kepada Sangha bermaksud mendapat sokongan serta menyokong sesama umat Buddha dalam mengamalkan ajaran Buddha.
Memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha "Sutras".
Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami. Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut ugama Budha di seluruh dunia.
Dikalangan penganut Buddha di Singapura dan Taiwan, terdapat amalan mencederakan diri ketika menyambut hari Wesak seperti berjalan di atas bara api sebagai menyambut hari kelahiran dewa Bao-sheng Da-di.


Ia dirayakan dalam bulan Mei pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:

  1. Kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
  2. Siddharta Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun di tahun 588 S.M.
  3. Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.

Friday, May 14, 2010

16 MEI - Selamat Hari guru ..

Share

GURU, KAMI KENANG SEPANJANG HAYAT….


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

SN Usman Awang

untuk sajak penuh sila klik baca lagi

Wednesday, April 14, 2010

Selamat Hari Vaisakhi

Ucapan untuk masyarakat India, Sikh


2010/04/14
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada masyarakat India dan Hari Vaisakhi kepada masyarakat Sikh yang menyambut perayaan mereka hari ini.

Sambil mendoakan agar mereka dapat merayakan hari bertuah itu bersama keluarga dan sahabat, Perdana Menteri berkata, sudah menjadi amalan rakyat Malaysia perayaan seperti itu adalah masa untuk mengenali dan memahami antara satu sama lain.
“Semakin banyak kita mengetahui mengenai satu sama lain, semakin kita menghargai kekayaan dan keutuhan nilai budaya kita. Walaupun pelbagai rupa dan bentuknya, persamaan nilai yang menjadi teras kepada kepelbagaian budaya memperlihatkan kita sebenarnya mempunyai banyak persamaan.
“Berbekalkan semangat 1Malaysia, marilah kita merebut peluang untuk bersama-sama merayakan hari istimewa ini. Selama dua hari bermula hari ini, masyarakat India beragama Hindu merayakan tahun baru dan hari istimewa itu dikenali dengan pelbagai nama.

“Di kalangan masyarakat Tamil, ia dikenali sebagai Puthandu, hari memperingati tahun Vikruthi, manakala kepada masyarakat Malayalee ia dikenal dengan nama Vishu,” katanya.

Selain itu, masyarakat Sikh Malaysia akan merayakan hari Vaisakhi hari ini untuk memperingati kelahiran Khalsa, hari terpenting kepada masyarakat Sikh di seluruh dunia.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan beramai-ramai menyertai saya bersama-sama masyarakat Sikh di Perayaan Rumah Terbuka Vaisakhi 1Malaysia pada 23 April ini di Ipoh,” katanya.

Friday, December 18, 2009

Salam Awal Muharram

Muharram menandakan kemenangan umat Islam.


1. MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam atau Hijrah dan menandakan pengasasan kalender bagi Umat Islam yang pertama.

Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.


2. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.


يسألونك عن الشهر الحرام قتال فيه قل قتال فيه كبير وصد عن سبيل الله وكفر به والمسجد الحرام واخراج أهله منه أكبر عند
الله ....

Pemahaman-Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.


3. Berpuasa dalam bulan Muharram adalah amat dituntut, terutama di hari kesepuluh, atau disebut hari 'Ashura. Rasulullah s.a.w. telah dilaporkan telah bersabda apabila ditanya tentang doa apakah yang lebih baik selepas doa wajib, jawab Baginda : "Doa di tengah malam."

Baginda telah ditanya sekali lagi puasa manakah yang lebih baik daripada puasa sepuluh akhir Ramadhan. Beliau menjawab: "Puasa di dalam bulan yang dipanggil Bulan Muharram." (Ahmad, Muslim, dan Abu Daud)



4.
Pengajaran peristiwa Hijrah

- pergaulan hidup di mana hubungan antara penduduk Madinah ketika mana hijrahnya nabi bersama kaum Muhajirin semakin rapat antara mereka terutama sesama Islam dengan usaha di dalam mempersaudarakan mereka dan juga termeterainya piagam Madinah.

-Tiada lagi permusuhan yang teruk disebabkan bangsa dan keturunan disamping hubungan baik antara muslimin dan bukan Islam juga baik. Ini sebagai satu praktikaliti kepada kita umat Islam sebagai kesatuan ummah, untuk berhadapan dengan musuh baik secara zahir dan tidak zahir.

-Menyemarakkan lagi suasana ukhuwah di samping mengukuhkan struktur Ekonomi atau hubungan manusia secara material. Ianya berkembang baik dengan menyingkirkan amalan riba, korupsi dan amalan yang menindas serta kepentingan diri sendiri setelah wujudnya sistem ekonomi Islam yang menjamin kestabilan dan keadilan.

-Dari aspek sejarah, Islam telah memuliakan penduduk Madinah yang dianggap lemah dan miskin oleh penduduk Mekah sebelum ini kerana kebanyakan mereka hanya mengharap kepada hasil pertanian sahaja.

-
Pengajaran dalam merubah sosio budaya umat Islam. Ini dapat dilihat melalui muamalah di kalangan orang-orang ansar dan muhajirin. Perubahan daripada satu keadaan jahiliah kepada hidayah yang terang menerangi iman mereka sehingga menjadikan mereka ummah yang terbilang dan gemilang di mata masyarakat masa itu. Seterusnya membuktikan kemampuan umat Islam pada masa itu berjaya membina empayar pertama di bumi Madinah.

Monday, November 23, 2009

Salam Eidul Adha

JPNIN Daerah Klang mengucapkan Salam Aidil Adha kepada seluruh umat Islam