Ads 468x60px

Friday, December 4, 2009

Berita

Dua polis tinggal di setiap taman perumahan atasi jenayah

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan dua unit rumah untuk dihuni oleh pegawai dan anggotanya di setiap taman perumahan di seluruh negara dalam masa terdekat ini bagi menjaga ketenteraman awam dan mengatasi jenayah yang sering berlaku di kawasan tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu, kerajaan akan menyediakan rumah yang diklasifikasikan sebagai kuarters polis bagi pegawai serta anggotanya di setiap taman perumahan dan kertas cadangan itu telah pun dihantar kepada pihak kerajaan.

‘‘Kita berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya bagi membendung kes jenayah di kawasan perumahan terbabit.

‘‘Jika mendapat kelulusan kita akan segera melaksanakan cadangan tersebut,’’ katanya pada Konvensyen Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.




Pada konvensyen yang bertemakan ‘Belia Pemacu Generasi Hadhari’ itu, Musa menyampaikan ceramah bertajuk Gejala Sosial: Hakikat Masa Kini.

Menurut Musa, rumah pegawai dan anggota polis di setiap taman perumahan tersebut akan berfungsi sebagai ‘balai polis’ di mana penduduk setempat yang mempunyai masalah boleh datang ke rumah mereka untuk membuat aduan.

‘‘Pegawai dan anggota polis yang ditempatkan di taman perumahan tersebut akan tinggal di rumah yang disediakan kerajaan bersama ahli keluarga mereka.

‘‘Bagaimanapun orang ramai boleh datang ke sana untuk membuat aduan sekiranya mereka mempunyai apa-apa masalah,’’ katanya.

Kata beliau, usaha menyediakan rumah di setiap taman perumahan yang berfungsi sebagai kuarters itu adalah untuk mendekatkan lagi mereka dengan orang awam.

‘‘Rumah yang akan disediakan ini sama seperti kuarters polis yang sedia ada, cuma ia di taman perumahan,’’ jelasnya.

Musa berkata, selain menempatkan pegawai dan anggotanya, beliau juga telah mengusulkan kepada kementerian agar Rukun Tetangga di aktifkan semula di kawasan-kawasan perumahan.

Katanya, ia bertujuan mengawal keselamatan selain sebagai usaha mencegah jenayah serta dijadikan sebagai Pusat Sehenti bagi penagih dadah.

‘‘Rukun Tetangga akan bersama-sama dengan polis menjaga keamanan kawasan perumahan dan penduduk setempat tetapi mereka fokus kepada masalah penagihan dadah di situ,’’ ujarnya.

0 ulasan anda:

Post a Comment