Ads 468x60px

Wednesday, December 16, 2009

Berita

Bangunan Sultan Suleiman di Klang diisytihar Warisan Kebangsaan








Sultan Sharafuddin Idris Shah menerangkan sesuatu tentang koleksi cenderamata yang dipamerkan di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz kepada Heng Seai Kie (kanan) selepas Majlis Pengisytiharan Bangunan Sultan Suleiman sebagai Warisan Kebangsaan di Klang, semalam.









KLANG 15 Dis. - Bangunan Sultan Suleiman yang merupakan salah satu monumen yang menjadi tarikan pelancongan di sini diisytiharkan sebagai bangunan warisan kebangsaan.

Dengan perisytiharan tersebut, bangunan berusia 100 tahun yang kini dijadikan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz tersenarai sebagai salah satu daripada 26 bangunan warisan kebangsaan di negara ini.
Perisytiharan dilakukan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan, Senator Heng Seai Kie dengan disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan bangunan tersebut di Jalan Stesen di sini hari ini.

Ia juga memberi penghormatan kepada Bandar Diraja Klang kerana terpilih sebagai bandar pertama di Selangor mempunyai bangunan yang dimartabatkan sebagai warisan kebangsaan.

Menurut Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Prof. Emiritus Zuraina Majid, bangunan Sultan Suleiman dipilih sebagai warisan kebangsaan kerana memenuhi kriteria yang terkandung dalam Seksyen 67, Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Beliau berkata, di antara kriteria yang terdapat pada bangunan ini ialah mempunyai gaya seni bina yang memaparkan sentuhan neo klasik selain nilai serta kepentingannya kepada sejarah negara.
"Bagaimanapun pengiktirafan bangunan ini sebagai warisan kebangsaan tidak akan menjejaskan pemilikannya selepas ini,'' kata beliau ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Tambah Zuraina, sehingga ini lebih 100 bangunan telah dicadangkan sebagai warisan dan 26 daripadanya di Selangor dan sedang dalam proses untuk diwartakan.

Mengenai bangunan tersebut, beliau berkata, ia dibina pada tahun 1909 sebagai istana hinggap Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah.

Ia kemudian dijadikan markas pemerintahan tentera Jepun (1941-1945), rumah rehat (1945-1948), pejabat Lembaga Bandar Raya Klang (1949-1964), pejabat pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (1965-1977), pejabat agama Islam Daerah dan Mahkamah Rendah serta Mahkamah Tinggi Syariah Klang (1977-1984).

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor juga pernah beroperasi di sini pada 1985 hingga 1988 dan menjadi pejabat cawangan Majlis Perbandaran Klang (1988 -2002).

Pada tahun 2002, Sultan Sharafuddin merancang memindahkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang terletak di Kampung Jawa Klang ke Bangunan Sultan Suleiman.

Setelah mendapat kelulusan, kerja-kerja pembinaan naik taraf dan pengubahsuaian Bangunan Sultan Suleiman ini dimulakan pada tahun 2005.

Kerja-kerja tersebut dilaksanakan dengan teliti supaya keunikannya dikekalkan sebelum dibuka kepada orang ramai sebagai galeri tahun lalu.

sumber : Utusan Online

0 ulasan anda:

Post a Comment