Ads 468x60px

Thursday, August 12, 2010

Perutusan YAB PM - Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1431



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,
Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita meraikan bulan Ramadhan pada tahun ini dalam keadaan harmoni dan penuh kerahmatan.
Sesungguhnya, Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub di dalam Al-Quran, surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :-
"Bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, sesiapa antara kamu hadir pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..."
Ramadhan merupakan penghulu semua bulan dan ia juga menjadi bulan keberkatan dan bulan untuk umat Islam berpuasa sebagai ketundukan dan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Di dalam bulan Ramadhan juga telah berlaku beberapa peristiwa dan kejayaan penting yang dilakarkan oleh umat Islam untuk menunjukkan kepada kita betapa bulan Ramadhan menyimpan keberkatan dan kehebatannya yang tersendiri serta mampu memberi impak dan menginsafkan hati setiap muslim yang prihatin.
Di antara peristiwa tersebut ialah peperangan Badar, Khandaq, Tabuk, pembukaan kota Mekah dan kemuncak dari itu ialah penurunan Al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan petunjuk kepada umat Islam untuk sepanjang zaman.
Sesungguhnya peperangan Badar dan perang Khandaq yang berlaku di dalam bulan Ramadhan ini merupakan manifestasi kemenangan tentera Islam terhadap tentera Quraisy berlandaskan perancangan strategik, kreativiti dan daya inovasi yang dicetus oleh Rasulullah s.a.w. serta para sahabat.
Hakikatnya, Allah s.w.t. telah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya kreativiti dan perancangan yang strategik dalam menentukan sesebuah kejayaan.
Menyedari kepentingan itu, maka negara kita juga telah meletakkan beberapa perancangan strategik dan misi besar untuk memajukan dan memakmurkan negara.
Bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', kita janakan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) berinovasikan Model Baru Ekonomi (MBE) dan bermatlamatkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Wawasan 2020.

Semua perancangan ini akan memastikan negara mencapai keharmonian perpaduan nasional dan melonjak prestasi ekonomi yang stabil serta mencapai negara yang berkompetitif dan berpendapatan tinggi.
Bulan Ramadhan juga memperlihatkan beberapa peristiwa agung seperti malam Lailatulqadar yang bermaksud pengagungan menurut pendapat sebahagian ulama'. Lailatulqadar ini bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan Al-Quran pada malam itu, turunnya para malaikat, melimpahya rahmat dan keampunan Allah s.w.t. dan akan dianugerahkan keagungan serta kemuliaan kepada mereka yang beribadat pada malam itu.
Justeru, kita hendaklah melipatgandakan amal ibadat, memperbanyakkan sedekah dan bermurah hati serta mengeluarkan zakat fitrah di bulan Ramadhan ini.
Para peniaga pula dilarang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya pada bulan ini demi kepentingan umat Islam yang berpuasa.
Di samping itu, saya ingin mengingatkan agar kita tidak melakukan pembaziran dan belanjalah secara berhemah pada bulan ini terutamanya sebelum tiba Syawal nanti. Ini bagi mengelakkan kita dari menanggung hutang dan kesusahan pada keluarga kita menjelang Aidilfitri kelak.
Sememangnya bulan Ramadhan ialah masa untuk umat Islam bermuhasabah diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Melalui ibadah puasa dari fajar hingga senja, umat Islam dilatih mempertingkatkan disiplin diri agar lebih penyabar, pemurah, pengasih dan mengemas empati diri terhadap kesusahan orang lain. Sudah tentu ibadat puasa pada waktu siang tidak sempurna tanpa munajat dan zikir pada waktu malam.
Kita di Malaysia sudah tentu bernasib baik kerana dapat menjalani ibadat puasa dalam keadaan yang lebih tenang dan kurang cabaran getir. Keadaan di negara kita adalah amat berbeza dengan umat Islam di sesetengah negara yang kini sedang menderita kerana dibadai bencana alam, bergelut dalam krisis kemanusiaan serta terperangkap dalam zon peperangan sehingga sukar bagi mendapatkan makanan untuk berbuka mahupun bersahur.
Ibadah puasa ini wajib dijalani oleh setiap inpidu yang berkelayakan. Selain membersihkan hati, puasa juga adalah terapi efektif memulihara kesihatan diri. Justeru, peluang pembaikan diri dan hati ini wajar direbut oleh setiap inpidu Muslim.
Oleh itu, Ramadhan ini adalah peluang terbaik untuk kita merukuni perpaduan 1Ummah melalui keunikan kepelbagaian kaum dan agama demi 1bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu padu.
Akhirul kalam, saya dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama meraikan dan mengimarahkan Ramadhan ini bersama rakan kita dari pelbagai bangsa melalui kerukunan muhibbah beriltizamkan perpaduan 1Malaysia 1Ummah. Insya-Allah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dato' Sri Mohd Najib 10 Ogos 2010


Share

0 ulasan anda:

Post a Comment