Ads 468x60px

Monday, January 11, 2010

PERUTUSAN TAHUN BARU 2010 KETUA PENGARAH

PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
K
ETUA PENGARAH
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional


 

Assalamu’alaikum dan Salam Perpaduan,

Bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan limpah kurnianya kita berada dalam keadaan yang aman, makmur dan sihat sejahtera.
Tirai 2009 telah berlabuh dan tahun 2010 membuka lembaran baru yang diharap dapat memberi inspirasi yang mendorong setiap warga JPNIN untuk menjayakan misi dan visi jabatan yang selaras dengan Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
1Malaysia yang diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat. Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, pengekalan hubungan positif antara kaum secara holistik adalah amat penting untuk memelihara kesejahteraan dan keharmonian dikalangan rakyat Malaysia.
1Malaysia bukan sahaja memperkasakan perhubungan antara kaum tetapi juga membina permuafakatan yang sebenar. JPNIN dalam konteks ini memainkan peranan yang amat penting dalam mengeratkan lagi perhubungan serta persefahaman antara kaum melalui aktiviti yang bertunjangkan kepada Rukun Negara dan Perlembagaan Negara. Warga JPNIN seharusnya mempersiapkan diri bagi menghadapi segala cabaran serta isu yang berkemungkinan timbul dalam merealisasikan matlamat jabatan iaitu membudayakan perpaduan, meraikan kepelbagaian. Oleh demikian, JPNIN perlu sentiasa bekerja dengan iltizam yang tinggi dan sentiasa bersikap daya saing untuk menjadi sebuah agensi Kerajaan yang unggul.
Harapan saya adalah untuk melihat warga JPNIN sentiasa menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mesra rakyat terutamanya di peringkat akar umbi bagi meraih sokongan padu yang berterusan dalam menjayakan konsep 1Malaysia. Saya juga turut merasa bangga terhadap pencapaian yang diberikan selama ini oleh semua pihak terutamanya kepada nadi penggerak utama JPNIN iaitu Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela, Tabika Perpaduan, Kelab dan Sekretariat Rukun Negara. Ini kerana pertubuhan-pertubuhan tersebut telah menjadi pemangkin utama JPNIN yang sentiasa memberi sokongan padu dengan menjalankan aktiviti dan program yang telah digariskan agar perpaduan antara kaum sentiasa utuh di hati rakyat.
Akhir kata, saya mengucapkan setinggi penghargaan dan sentiasa mengalu-alukan lontaran idea yang membina dan saranan yang bernas dari semua pihak dalam meningkatkan prestasi yang boleh dibanggakan dan dapat mempertahankan keharmonian negara  serta mengukuhkan lagi perpaduan dalam kepelbagaian. Jadikan 1Malaysia sebagai satu konsep holistik yang merangkumi perpaduan, kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan untuk semua. Ia adalah kesinambungan usaha Kerajaan untuk membina negara bangsa yang bersatu padu serta mempunyai jati diri yang utuh.
Sekali lagi saya ucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya kepada semua.
Wassalam…


DATO’ AZMAN AMIN BIN HASSAN
Ketua Pengarah
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional

0 ulasan anda:

Post a Comment